Friday, November 26, 2010

aku dan anda


Ternyata apa yang terjadi memang memeritkan. Walaupun kadang-kadang ia seakan memberi ketenangan sejenak apabila hati memerlukannya tapi ia menjadikan semakin hari semakin kusut dan tersimpul. Sejujurnya, aku tak mintak semua ni dan mengatur tertib segalanya tapi aku harus leraikan simpul yang semakin ketat untuk aku buka. Fahamilah perkara yang harus aku leraikan bukanlah sesenang membuka tali kusut.

Cubalah duduk dan masuk dalam hati ni sejenak. Dulu hati aku ditutup kemas dan anda berjaya membukanya. Aku tak tahu dari mana datangnya anda tapi tuhan menghantar anda untuk sesuatu yang kurang pasti sebabnya. Hati ni yang dahulunya kosong seperti jug dan telah diisi dengan air penuh melimpah. Aku relakan hati disentuh dan anda telah pun menjadi sebahagian hidup dan hidup semakin bermakna.

Aku senantiasa fikirkan perasaanmu. Ternyata anda memang kuat menahan sabar. Tapi ia menjadikan perasaan aku semakin tidak menentu. Kata orang, kalau tidak mahu rumah dilanda ombak, janganlah berumah ditepi pantai. Tapi kalau rumah dah terbuat kukuh ditepi pantai, adakah senang anda merobohkannya? Hubungan mana yang tenang. Pasti dilanda masalah dan orang ke3 pastinya wujud. Terpulanglah untuk menepisnya atau menerima.

Manisnya kenangan yang kita ukir bersama. Melihat kita ketawa riang dan taman menjadi saksi. Tak mudah aku tepis anda dan membuat kehidupan aku kembali pada asal yang suram. Tahukah anda, sakitnya terima segala ketentuan ni? Pilihan yang harus aku fikir sedalamnya bukanlah ringan. Rasailah beban yang tak tertanggung ni. Anda mungkin fikir ia tidaklah sebeban mana, lemparkan saja kain lusuh itu. Ia tidak memberi aku kesenangan, mungkin tu yang bermain dalam hatimu. Aku telah menghabiskan segala tenaga, masa, wang ringgit hanya untuk mengukuhkan hubungan tu dan tidaklah semudah yang difikirkan untuk aku musnahkan.

Percayalah, anda sangat bermakna dalam hati ni, Dahulu hati aku sepi. Anda membawa cahaya yang terang dalam kehidupanku yang asalnya suram. Aku tak berniat memberi anda harapan setinggi gunung tapi aku nasihatkanmu agar berdoalah yang terbaik untuk masing-masing. Jika ia telah tertulis di Luh Mahfuz, biarkan saja ia datang mengatur sendiri. Tuhan tahu apa yang terbaik dan tidak sesekali biarkan kita sakit hingga mati. Aku hanya membuat janji dan aku sendiri tidak pasti adakah ia benar dapat dikotakan.

Aku tidak pernah sekali salahkan anda dalam hal ni kerana aku tahu anda mempunyai message tersendiri yang tersirat dan harus aku cari hikmahnya. Aku tak sangup biarkan hati anda dirobek. Aku tak sampai hati membiarkan kenangan kita bersama dilempar jauh. Hatiku hanya satu. Dan aku perempuan yang dijadikan untuk menerima hanya satu saje insan bukan seperti anda yang telah dibahagikan dari sejak azali kerana ia memang telah dijadikanNya sebegitu.

Masa memang mampu mengubah segalanya tapi aku cuba leraikan keadaan yang semakin simpul rapi, aku cuba dan tidak untuk mengelak... Segalanya akan terjawab apabila tiba masanya. Sesungguhnya, al-Qayyum tahu apa yang ada dalam hati aku, di setiap sudut. Jika aku untukmu, jagalah aku sewajarnya dan jika sebaliknya, jadikanlah aku sebagai sejarah hidup anda. Mungkin aku bukanlah yang terbaik, fahamilah..segalanya telah ditakdir ia menjadi sebegini. Dan aku sakit menanggungnya begitu juga anda.

No comments:

Post a Comment